Tuesday, February 16, 2010

lelaki mencari wanita

(Artikel ini ditulis setelah membaca buku Menjejak Sang Neo Maskulin oleh Dr Airil Aimi. Saya sedang mencari kefahaman tentang perbezaan lelaki biasa dengan lelaki maskulin. Dan apa yang saya tulis ini adalah situasi normal yang sedang berlaku tentang tuntutan hidup seorang lelaki yang mencari seorang wanita (atau wanita-wanita) )

Seorang lelaki cenderung untuk memiliki duit yang banyak, kereta mewah, rumah besar dan pangkat yang tinggi sebagai satu lambang untuk mempengaruhi seorang wanita.

Ianya adalah satu impian, menjadi lelaki maskulin yang cukup serba serbi samada tubuh badan yang mantap juga kekuasaan pengaruh keatas orang sekeliling. Perkara-perkara tersebut akan memudahkan lelaki-lelaki mencairkan hati seorang wanita, terutama pada pertemuan pandang pertama. Soal seorang wanita jatuh hati kerana kehebatan sang arjuna berkata-kata adalah perkara kedua. Kerana itu berlangsung setelah wanita tersebut mengenali lebih rapat lelaki itu. Sebab itu ada kes dimana wanita melarikan diri bersama teman lelaki ke Golok ataupun Lombok.

Berbalik kepada lelaki yang mendambakan pengaruh dan wang, mereka memerlukannya untuk memberi jaminan kepada gadis impian yang dia adalah seorang lelaki yang boleh diharapkan pada bila-bila masa. Lelaki percaya tanggungjawab mereka adalah untuk melindungi gadis-gadis, jika mereka gagal memainkan peranan tersebut para gadis akan menjauhkan diri walau sekacak mana pun lelaki tersebut. Kekacakan semata-mata tidak mendatangkan duit dan pengaruh kuasa.
Sekarang ramai lelaki yang cuba mencelup karekter Nate atau Dan Humprey untuk memikat gadis seperti Blair atau Serena (watak-watak dalam Gossip Girl). Lelaki sangat mudah tertarik hati dengan wanita yang outgoing, public figure, glamour, popular dan menjadi sebutan ramai. Wanita seperti ini biasanya cantik, suka ke majlis keramaian/ sosial, bijak dan berpelajaran tinggi. Bonus jika mereka datang dari keluarga yang berada dan berpengaruh. Dengan mempunyai kenalan yang luas, wanita-wanita ini tidak memerlukan usaha yang sukar mencari calon buah hati. Mereka hanya perlu menganalisis pasaran lelaki semasa dan jika ternampak ciri-ciri yang lebih dalam seorang lelaki berbanding lelaki yang lain, peluang untuk lelaki tersebut dipilih adalah cerah. Konsep ini sama seperti majikan yang ingin mencari pekerja. Soalan rasmi yang paling kerap ditanya adalah “apakah kelebihan yang awak ada berbanding beratus pemohon diluar sana?”. Hanya, seorang lelaki tidak akan mengenalkan diri kepada seorang wanita seperti dia sedang ditemuduga dan si wanita adalah si penemuduga. Amat janggal jika ada seorang lelaki menceritakan kelebihan itu ini yang dipunyainya kepada seorang wanita yang baru dikenalinya.

Jadi disini, personaliti yang dibentuk oleh keupayaan kewangan dan pengaruh kekuasaan perlu digunakan. Lelaki tersebut boleh menggayakan dirinya sebagai seorang yang macho seperti menyapa semua orang didalam majlis keramaian yang dihadirinya. Untuk menunjukkan kepada wanita yang dia sedang mengawal wilayah kekuasaannya. Seperti seekor singa jantan menjaga wilayahnya. Hasilnya tergambar jika wanita memilih dirinya yang popular itu, wanita itu akan turut tertempias popularitinya. Menggambarkan pengaruh yang tinggi juga bermaksud lelaki tersebut telah menawarkan dirinya untuk digunakan wanita sebagai batu loncatan dalam hidup. Lelaki memang amat suka bantu membantu. Lebih banyak akses dan network yang boleh ditawarkan seorang lelaki, lebih selamat wanita tersebut jika berlaku keadaan diluar jangka. Contoh jika wanita itu sedang mencari kerja dan lelaki itu tahu kabel, orang dalam atau lubang disyarikat besar, tak perlulah si wanita menyelak akhbar mencari iklan kerja kosong atau pergi mendaftarkan diri di Jobstreet.

Sesungguhnya itulah yang didambakan dan diimpikan kebanyakan lelaki moden zaman millennium ini. Memang ianya seperti mimpi, oleh itu duduk menonton siri Gossip Girl dan membayangkan dirinya adalah watak utama sudah cukup membungakan hati lelaki. Untuk menjadikannya satu realiti lelaki perlu kuat berusaha dan perlu bersedia menghadapi stress. Ramai lelaki yang sakit jantung bekerja kuat untuk mendapatkan pangkat dan duit lebih, tetapi kemahuan hidup dan perbelanjaannya turut melebih-lebih.

Ianya lebih mudah jika kita bersederhana untuk menjalani hidup. Menjadi hebat, berjaya atau kaya memang menjadi tuntutan, tetapi kalau diri tidak disiapkan dengan kekuatan spriritual, ilmu dan emosi ianya akan bertukar menjadi perkara yang membebankan pula.

No comments: